Tuesday, January 10, 2012

info tambahan skim rumah pertama


Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) meminta golongan muda yang ingin membeli rumah pertama agar berhubung dengan pihak bank selaku pembiaya Skim Rumah Pertamaku dan bukannya pihak pemaju.
Pengerusinya Datuk Wira Idris Haron berkata hanya pihak bank sahaja yang mampu untuk meluluskan semua permohonan pembelian rumah pertama di bawah skim tersebut.
“Ini kerana pihak bank mempunyai semua data tentang maklumat peminjam sama ada seseorang itu benar-benar pembeli rumah pertama atau sebaliknya.
“Dari situ juga pihak bank boleh mengesahkannya dan sekiranya layak, pembeli rumah pertama di bawah skim tersebut berhak memiliki rumah itu tanpa sebarang bayaran deposit,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 di Paya Rumput di sini, Selasa.
Idris berkata golongan muda atau pembeli rumah pertama hanya perlu mencari rumah yang dikehendaki, mengisi borang dan menghantarnya ke 25 buah institusi kewangan terpilih.
Beliau berkata skim tersebut tidak terhad kepada kakitangan kerajaan sahaja di mana kakitangan swasta turut berhak menikmati tawaran skim tersebut dengan syarat mereka adalah pembeli rumah pertama.
Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan pada 8 Mac lepas merupakan inisiatif kerajaan dengan kerjasama Cagamas Bhd dan institusi kewangan bagi mengurangkan beban golongan muda yang menghadapi masalah kos sara hidup serta harga hartanah yang tinggi di lokasi-lokasi tertentu di Malaysia.
Melalui skim tersebut, golongan muda yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM3,000 boleh mendapat pinjaman 100 peratus daripada institusi kewangan terpilih untuk membeli rumah berharga antara RM100,000 dan RM220,000, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 30 tahun.
Sementara itu dalam majlis yang sama, sebanyak 18 buah sekolah rendah di negeri ini menerima sumbangan kewangan berjumlah RM77,000 daripada Powertek Berhad di bawah Program Sokongan Didikan Powertek Berhad 2011 yang ketujuh.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Powertek Dr Ong Peng Su berkata pihaknya memperuntukkan sebanyak RM164,000 untuk membantu kanak-kanak sekolah mendapat pendidikan berkualiti.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment